Asma'ul Husna

asma ul husna

Jumaat, 30 November 2012

Tiada Jihad Di Palestin?


Malaysia digemparkan dengan kenyataan seorang ustaz bahawa tiada jihad di Palestin. Ramai yang share dan menyatakan kebencian terhadap kenyataan itu. Maki hamun pun ada. Ya, saya memahami betapa kita terkilan dengan penyataan sedemikian rupa, dalam keadaan Gaza diserang dan bermandikan darah saban hari. Saat mereka menunjukkan kekentalan mempertahankan bumi pertiwi, tiba-tiba ada yang berkata bahawa tiada jihad di sana, orang Palestin patut keluar dari Palestin, seterusnya dikatakan pula usaha boikot itu sia-sia, dan sebagainya yang jelas tidak mengambil berat akan keadaan semasa.
Justeru ini sekadar coretan saya akan isu ini, sekadar apa yang saya belajar.


1 – Jika Jihad perlukan 2 kali ganda musuh, maka Badar tidak menjadi jihad buat Rasulullah SAW dan para sahabat. Kerana tentera Islam pada ketika itu 313 dan musuh 1000. Ini jelas menunjukkan Idris Sulaiman sudah tersilap mentafsirkan sepotong ayat Al-Quran:
“Sekarang Allah telah meringankan daripada kamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana Ia mengetahui bahawa pada kamu ada kelemahan; oleh itu jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat menewaskan dua ratus orang; dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya mereka dapat menewaskan dua ribu orang dengan izin Allah. Dan (ingatlah) Allah beserta orang-orang yang sabar.” Al-Anfal ayat 66.
Ayat ini bukan ayat arahan. Tetapi cuma Allah nak kata semasa berperang itu, seorang daripada kita at least kena tumbangkan dua orang musuh, dengan itu kalau kita berperang dengan angka yang sedikit pun, kita boleh menang. Ini lebih kepada strategi sahaja. Terbukti apabila Allah SWT sendiri ‘mengubah’ strategi itu. Sebelumnya, angka yang Allah SWT letakkan lebih tinggi.
“Wahai Nabi, peransangkanlah orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti.” Surah Al-Anfal ayat 65.
Seorang kena lawan 10 sebelumnya.
Tetapi Allah mahu meringankan kewajipan ini, lantas dikurangkan seorang lawan dua. Namun yang penting perlu dilihat bahawa keypointnya bukanlah ‘angka’. Kerana ‘angka’ jelas berubah. Tetapi dalam kedua-dua ayat itu, yang kekal sinonim adalah ayat ‘sabar’.
Pendek kata, tentera perlu bersabar dalam menumbangkan musuh walau berapa ramai pun mereka. Jika mereka bersabar, tidak gopoh, mereka kental dan cekal, pastinya tentera yang lebih ramai pun akan mampu mereka tewaskan. Ayat ini fasal ‘strategi’. Bukan fasal berapa lawan berapa baru boleh dikira sebagai jihad.
Justeru kita telah melihat banyak di dalam sejarah Islam selain Perang Badar, yang musuh lebih besar 2 kali ganda dari tentera Islam.
Perang Uhud – 700 tentera Islam VS 3000 tentera Musyrikin Makkah.
Perang Khandaq – 3000 tentera Islam VS 10,000 tentera gabungan Ahzab.
Perang Mu’tah – 3000 tentera Islam VS 200,000 tentera Rom Byzantine.
Banyak contoh bukan?
Apakah itu semua bukan Jihad?

Angka hanyalah strategi. Jihad adalah tindakan kita dalam berjuang di atas jalan Allah SWT. Tiada kena mengena dengan angka yang ramai atau sedikit.

2 – Ustaz tersebut juga berkata seakan-akan di Palestin itu semberono sahaja peperangannya. Lantas dia melihat tiada apa di sana melainkan kegagalan.
Sebenarnya jika kita menyelami keadaan di Palestin, kita tahu HAMAS amat berstrategi. Mereka bukan sahaja mempunyai orang di dalam Palestin. Mereka ada orang di luar Palestin, seperti Khaled Mesy’al untuk membina hubungan baik dan mengangkat suara HAMAS dari luas Palestin.
Mereka mempunyai ketua-ketua yang menyusun strategi perang, agar kekal bertahan di sana. Kita semua tahu apalah yang boleh dibandingkan Gaza yang kecil itu berbanding Israel yang mempunyai pelbagai teknologi dan telah memperhambakan Amerika Syarikat itu.
Jika tanpa strategi, pastinya kita tidak akan melihat Gaza masih ada sekarang.
HAMAS bukan sahaja berperang menggunakan senjata. Mereka juga bersungguh dalam medan politik. Kerana itu mereka memenangi pilihanraya yang lepas hingga Ismail Haniyyeh diangkat menjadi Perdana Menteri.
Bahkan tiada siapa boleh cakap yang HAMAS tiada pengintip di merata tempat sebagai salah satu strategi mereka. Mereka juga giat melatih pelapis-pelapis baru dari masa ke semasa.
Yang mereka ada hanyalah ‘kegagalan’?
Tidak. Setiap kali mereka mampu bertahan dari dihancurkan oleh Israel, itu bukankah satu kemenangan? Justeru negara-negara Islam yang lain mempunyai lebih banyak masa untuk keluar dari kebodohan masing-masing, dan mula bertindak membela saudara mereka di Gaza sana!


3- Orang Palestin patut meninggalkan Palestin?
Alasannya adalah untuk menyusun strategi?
Inilah pentingnya memahami fiqh semasa. Kita bukan lagi di zaman orang Islam minoriti. Kita ada angka yang besar di atas muka bumi ini. Tinggalnya ramai antara kita berdiam diri dan tidak membantu. Kita banyak negara Islam, tetapi kebanyakannya berdiam diri. Kemudian kita nak orang Palestin tinggalkan tanah suci itu untuk dicemari Zionis?
Seperti apabila ada gengster pecah masuk rumah kawan kita, kemudian kita kata pada kawan kita: “Hei, biarlah dia. Kau kena keluar dari rumah itu.” Begitu? Mustahil bukan?
Kita ramai. Yang patut kita suruh ‘bergerak’ adalah orang-orang Islam agar mempunyai kesedaran, lantas bergerak membantu sahabat kita di Palestin. Bukannya kita suruh orang Palestin ‘bergerak’ keluar dari tanah mereka.
Mengapakah mereka, orang-orang Palestin itu bersungguh mempertahankan tanah itu, menggadaikan nyawa mereka?
Apakah kita lupa bahawa di sana terdapat Baitul Maqdis, tanah suci kita?
Apakah hanya kerana Masjidil Haram dan Masjidin Nabawi telah terjaga rapi, penuh teknologi, kita boleh mengabaikan Masjidil Al-Aqsa dan membiarkan ianya ternoda?
Orang di Gaza sana, di Palestin sana, memahami tanggungjawab mereka untuk mempertahankan tanah itu.
Mereka sedang melaksanakan apa yang patut kita laksanakan, apabila ada tanah ummat kita dicabuli.
Dan kita mengkritik mereka, seterusnya mencadangkan agar mereka meninggalkan tanah suci itu?

4 – Boikot adalah tindakan yang tidak bermakna katanya. Benarkah?
Sekurang-kurangnya, kita berusaha bukan? Ada strategi untuk memberikan efek kepada ekonomi mereka. Tinggal ramai nak buat atau tidak sahaja. Maka sepatutnya bukan kita perlekehkan usaha, sepatutnya kita kritik orang yang tidak mahu bersama-sama berusaha.
Ini seakan-akan bila Rasulullah SAW nak keluar berjihad dan ada yang tidak mahu pergi kerana panas, maka kita kata – “Sebaiknya tak payah pergi, sebab panas. Tak logik betul arahan Rasulullah itu!” Seakan-akan begitu pula. Sedangkan kita sepatutnya mengkritik orang-orang yang memberikan alasan yang lemah dan tidak mahu berusaha. Lihatlah Allah SWT sendiri mengkritik pihak yang mana:
“Orang-orang yang ditinggalkan (tidak ikut perang) itu, merasa gembira dengan tinggalnya mereka di belakang Rasulullah, dan mereka tidak suka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah dan mereka berkata: Janganlah kamu berangkat (pergi berperang) dalam panas terik ini. Katakanlah: Api neraka itu lebih sangat panas(nya) jika mereka mengetahui.” Surah At-Taubah ayat 81.
Jadi mengapa mengkritik yang berusaha?
Dan boikot adalah antara usaha yang boleh dilakukan dalam keadaan sekarang. Selain banyak perkara lain yang boleh dibuat seperti memperkasakan media, membina peribadi-peribadi yang cakna, memperkasakan ekonomi dan sebagainya.

Penutup: Jangan Tidak Mempunyai Perasaan.
Jangan lah kita mudah berbicara, mengkritik rakan kita di Gaza sana, seakan-akan rakyat Palestin itu pula keluar dari negara mereka, serang negara orang lain, bunuh orang tak berdosa, pada 1948 itu. Mereka itu sedangkan, dijajah, diambil hak mereka tanpa kebenaran, dirobohkan rumah-rumah, dirosakkan kebun-kebun.
Kita boleh pula berbangga berjabat tangan dengan penjajah, melukut meminta kemerdekaan dengan mereka, dan menyambutnya setiap tahun pada 31hb Ogos. Balasannya? Balasannya kita perlu ikut sistem mereka, sistem pendidikan mereka, dan banyak perkara. Hasilnya? Hasilnya minda kita masih terjajah, walau nampak negara kita macam sudah merdeka.
Tiba-tiba kita mahu mengkritik manusia yang berjuang bersungguh-sungguh mempertahankan bukan sahaja tanah air mereka, bahkan tanah suci ummat Islam.
Maka kenapa mesti dikritik jihad mereka?
Kita yang duduk di sini boleh berpakaian kemas, putih bersih tanpa debu dan darah, boleh berkopiah rapi yang cantik tanpa pasir dan koyak akibat peperangan, mungkin kita boleh cakap banyak pada mereka yang sedang berjuang, dan sibuk mempersoalkan fasal aqidah, sedangkan isu Palestin bukan semata-mata isu agama. Ianya isu kezaliman yang berlaku ke atas mereka.
Kalau orang kafir dizalimi oleh orang Islam pun kita patut bela orang kafir itu, apatah lagi orang Islam yang dizalimi oleh Zionis yang dilaknat Allah itu. Patut kita rasa malu hendak mengkritik mereka yang berjuang itu.
Janganlah tidak berperasaan.
Mari usahakan apa yang boleh diusahakan.

Rabu, 7 Mac 2012

Jahilnya Kita Terhadap Lawan

“Teks, dan manusia. Dua saluran untuk memahami” itu yang saya pegang.
Setelah meluangkan masa memahami kehidupan pada teks-teks agama sebagai panduan, tiba masanya kita terjun ke alam pekerjaan.
Bekerja bukan hanya bekerja. Tetapi bekerja untuk membina jambatan antara agama dan manusia.
Subhanallah, datang dari sekolah agama yang semuanya Melayu dan Muslim, kemudian bermastautin di Jordan yang semuanya Arab dan Muslim, manusia di sepanjang hidup saya itu bersifat monotonous. Ia tidak menggambarkan cabaran rencam yang menanti kehidupan di hadapan. Islam yang saya belajar, wahyu pertamanya turun di Tanah Arab, namun cabaran semasa yang menanti di hadapan adalah warna warni Empayar Rom dan Parsi.
Itu menungan saya di tingkap. Saya sudah berada di Eropah. Namun saya jahil untuk memahami manusia dan pemikirannya. Kejahilan yang menjadikan kita sukar untuk memahami mad’u di Eropah sendiri, malah turut mencabar upaya saya untuk memahami pemikiran apa yang sedang membentuk minda anak watan di tanah air.
Itu tidak bagus.
Saya yakin ‘Barat’ lebih berkasar dengan Sayyid Qutb berbanding Hasan al-Banna sendiri selaku pengasas al-Ikhwan al-Muslimun, antara puncanya adalah kerana pengetahuan mendalam Sayyid Qutb tentang Barat. Tafsir Fi Dhilal al-Quran itu sendiri merupakan kritikan langsung Sayyid Qutb kepada gagasan idea Eropah yang menyelinap masuk ke kepercayaan, pandangan hidup dan sistem nilai umat Islam semasa.
Saya tidak boleh terus jahil tentang Eropah. Tentang Barat.
KEJAHILAN EROPAH
R.W. Southern pernah menyampaikan syarahannya di Universiti Harvard pada April 1961. Ia dibukukan di bawah tajuk, Western Views of Islam in the Middle Ages (ISBN 0-674-95055-0). Di dalam ucapannya, Southern telah membahagikan era perkembangan persepsi Barat terhadap Islam kepada tiga era iaitu apa yang dinamakan sebagai The Age of Ignorance, The Century of Reason and Hope dan The Moment of Vision.
Di era kejahilan Eropah terhadap agama kita, mereka sangat jahil dan bebal dalam menanggapi Islam. Mereka tidak tahu bagaimanakah caranya untuk mereka memahami Islam. Contoh terdekat yang boleh mereka gunakan adalah dengan membandingkan Islam dengan tradisi Yahudi. Agama Yahudi mempunyai pelbagai prinsip yang dilihat sama dengan Islam, seperti menegaskan keesaan Tuhan dan menolak Trinity.
Akan tetapi, masalah Eropah ketika itu bukanlah masalah maklumat. Ia lebih kepada masalah sikap dan pemikiran. Mereka sudah lama berjiran dan berhubung dengan umat Islam, tetapi persepsi mereka yang menjadi tembok penghalang.
Selama ini, Eropah memperlekehkan Yahudi yang miskin, melarat, dan dibenci, sebagaimana yang digambarkan oleh William Shakespear di dalam karyanya The Merchant of Venice. Sedangkan di era sekitar kurun ke 10M, Islam begitu gah dan hebat, tidak seperti imej Yahudi. Kelekehan Yahudi membolehkan Eropah untuk mengabaikan sahaja apa-apa idea mereka, tetapi kredibiliti Islam membuatkan Eropah gelisah kerana tidak boleh memejamkan mata terhadap Islam. Maka cubaan untuk memahami Islam dari imej Yahudi, agak membingungkan. Eropah keliru.
“Seperti seorang banduan yang berada di dalam penjara, kemudian mendengar khabar-khabar angin tentang peristiwa yang berlaku di luar, lantas banduan itu cuba melakar peristiwa yang didengarinya itu, dengan bantuan idea yang telah sedia ada di dalam fikirannya!” begitulah analogi R.W. Southern untuk membayangkan keadaan penulis Barat tentang Islam sebelum tahun 1100.
Mereka langsung tidak tahu tentang Islam sebagai sebuah agama. Pada mereka, Islam dan Muslim hanyalah sekumpulan musuh yang mengancam dunia Kristian dari segenap sudut. Pada mereka, tidak perlu dibezakan di antara Tauhid Islam dengan penyembahan berhala primitif kaum Northmen, Slavs dan Magyars. Semuanya diangkut sebakul, semuanya adalah musuh agama Kristian.
Mereka begitu bukan kerana kurang maklumat atau tidak berpeluang mengenal Islam secara dekat. Tetapi lebih kepada sikap, memandang remeh dan menjahilkan diri terhadap musuh. Dan dengan kejahilan mereka terhadap musuh, mereka tidak berupaya untuk mengalahkan musuh!
THE AGE OF MUSLIM IGNORANCE
Pada saya, apa yang telah membelenggu Eropah di era itu, hal yang sama jugalah sedang membelenggu pemikiran umat Islam hari ini. Saya bimbang dengan pemikiran simplistik umat Islam di Malaysia hari ini. Jika Tok Wan di kampung, tentulah saya tidak bimbang. Tetapi yang menjadi kerisauan saya adalah tokoh-tokoh masyarakat, ahli politik dan Ulama sendiri.
Di era penghormatan orang ramai terhadap Ulama semakin terhakis, ramai Ulama yang dengan sendiri menambah sebab untuk mereka tidak dihormati.
Suatu ketika, kita beranggapan bahawa semua yang menentang Islam adalah Orientalis. Semua Orientalis adalah musuh Islam. Walaupun mungkin kita bahagikan Orientalis kepada Orientalis klasik, moden, dan pasca moden, namun kita beranggapan bahawa semua kelompok ini bekerja untuk menjayakan agenda penjajahan dan merancang untuk membinasakan Islam. Lantas kita gagal bersikap adil, dan seterusnya terhijab dari mengambil manfaat menerusi kajian Orientalis yang bermaksud baik seperti Arnold Toynbee.
Kita juga marah dengan Orientalis kerana menyalah tafsirkan Islam, bagaimana pula dengan jenayah kita menyalah tafsirkan Eropah? Apakah kita sudah menghasilkan terjemahan Islam terhadap Western Civilization? Orientalis gigih bekerja, dan kita hanya gigih menangkis, semata-mata.
Saya masih ingat di akhir 80an dan awal 90an, kita juga pernah menggunakan pukat tunda untuk melabel musuh Islam. Pada kita, asalkan ada sahaja versi Islam yang ‘anti tradisional’ dan sedikit berbau ‘liberal’, kita tuduh ia sebagai agenda IIIT (masyhur disebut sebagai Tripple I-T) dan Islam ala Amerika. Versi Islam yang direstui Amerika!
Hari ini, kritikan terhadap tradisi Islam semakin tajam, dan kita sekali lagi menggunakan pendekatan yang sempit, melabelkan semua anti Islam sebagai Islam Liberal. Kita tidak halusi pengertian Islam, dan kita tidak teliti dalam pengungkapan Liberal. Walhal, suara-suara ‘Islam Liberal’ yang ada hari ini, Islamnya pun tidak seberapa, Liberalnya pun menimbulkan persoalan.
Kembara di bumi Shamrock bukan kembara melankolik.
Ia mesti menjadi peluang untuk saya mendalami Sejarah Eropah Moden.
Sedikit sebanyak saya perlu berkenalan dengan karya-karya George Sarton, Adam Smith, John Stuart Mill malah buku teks seperti Western Civilization: A Brief History oleh Marvin Perry, dan sebuah lagi buku dengan tajuk yang sama oleh Jackson J. Spielvogel, demi memperbaiki persepsi saya tentang apa yang disebut sebagai BARAT. Eropah.
Saya teruja kerana melihat betapa asal usul idea seperti Liberalisma, Nasionalisma, malah Sosialisma, terbit dari kerangka pemikiran berteraskan agama! Eropah yang dibelenggu pelbagai krisis hablun minaLlah dan hablun minannaas, cuba menterjemahkan apa yang mereka faham tentang agama, melalui idea-idea liberal, konservatif, nasionalis dan sosialis.
Fahaman liberal mahu memulihkan identiti setiap insan sebagai individu, memberikan hak kepada mereka untuk berhubung dengan Tuhan tanpa melalui pihak ketiga, serta mahu mendefinisikan hak serta peranan mereka sebagai individu. Konservatif pula mahu memfokuskan hakikat insan sebagai manusia yang tabiatnya adalah berjemaah, bersosial dan berkelompok. Kedua-duanya mahu memperjuangkan aspek yang ada justifikasinya.
LIBERALISMA TAJDID DAN ‘ISLAM LIBERAL’
Liberalisma muncul di Eropah dalam kerangka agama. Idea tersebut terus berkembang dan mengalami perkembangan dari semasa ke semasa.
Di kalangan masyarakat Islam, golongan Tajdid mahu memulihkan kedudukan individu agar tidak terkongkong oleh taqlid yang bersandarkan kepada institusi agama. Tajdid mahu setiap individu berhak untuk memahami dalil dan sandaran hukum agar dapat beragama tanpa bergantung kepada pihak ketiga. Di sini, prinsip Liberalisma terguna pakai. Malah gerakan Tajdid hari ini, sering pula diseru kepada mencontohi gerakan Liberalisasi Martin Luther yang membawa reformasi agama terhadap institusi Katholik, sebagaimana yang sering dicontohkan oleh Muslim Professional Forum (MPF).
Di satu sudut yang lain, golongan yang sering dilabelkan sebagai ‘Islam Liberal’ oleh seterunya, turut menentang ‘tradisi agama’. Mereka membangkitkan soal kod moral kerana mahu peranan individu lebih terserlah di dalam otoriti beragama. Di atas titik ini, prinsip Liberalisma turut diguna pakai, walaupun dengan versi Liberalisma yang telah berbeza.
Kedua-dua golongan ini mensasarkan kritikan kepada arah yang sama iaitu golongan konservatif agama.
Sedangkan kedua-dua kumpulan ini mempunyai motif yang berbeza. Golongan Tajdid mahu mengukuhkan pegangan individu terhadap agama, sedangkan golongan ‘Islam Liberal’ pula mahu melonggarkan ikatan agama.
Namun, jika golongan Tajdid tidak berhati-hati, mereka akan pergi senada dengan golongan ‘Islam Liberal’.
Kedua-duanya lantang mengkritik konservatif agama, yang ada di dalam institusi kerajaan, juga parti pembangkang Islam. Golongan Tajdid dan ‘Islam Liberal’ bertemu di pentas LIBERALISMA. Pertemuan itu mudah berlaku kerana idea Liberalisma terbit dari usul agama. Liberalisma Tajdid terbit dari Usul Islam, dan Liberalisma aliran ‘Islam Liberal’ pula terbit dari Usul Christendom. Jika konservatif yang ditentang adalah konservatif golongan agama, maka Tajdid dan ‘Islam Liberal’ boleh bangkit senada.
PENJENAYAH DI SEBALIK DARWINISMA
Saya sering melihat Teori Evolusi sebagai suatu bencana, khususnya apabila ia diterjemahkan dalam bentuk ‘hak bangsa hebat seperti Barat untuk menjajah bangsa yang lebih lemah’. Saya memperolehi banyak sumber untuk mengutuk Charles Darwin (1809-1882) yang telah mengemukakan teori ‘syaitan’ ini. Karangan-karangan yang terbit dalam kerangka ‘bahasa konspirasi’ seperti tulisan Harun Yahya, menambah lagi kebencian saya terhadap Darwinisma.
Tetapi selepas membaca sendiri susur galur perkembangan Darwinisma dari sumber Eropah, saya dapat melihat dengan jelas, benih tumbuhnya idea ini. Bermula dari kajian datuk kepada Charles Darwin iaitu Erasmus Darwin yang telah menulis pada tahun 1794, Zoonomia (The Law of Organic Life), membawa kepada kajian Charles Darwin di dalam Origin of Species (1859) dan Descent of Man (1871), saya dapat melihat bahawa penjenayah terbesarnya adalah golongan yang datang kemudian. Bukannya Erasmus dan Charles itu sendiri. Golongan Social Darwinists adalah golongan yang bertanggungjawab memindahkan teori saintifik Charles Darwin kepada aspek sosial dan ekonomi, yang menjadi teras kepada Kolonialisma.
Berlaku adil kepada kawan dan lawan, adalah prinsip tinggi di dalam Islam.
Jika kita boleh akur bahawa idea-idea yang muncul dari Barat itu banyak yang diaspirasikan oleh agama, maka tidaklah sukar untuk kita melihat faedah idea ini kepada pemulihan Islam. Bukan memulihkan Islam dengan sentuhan Barat, tetapi meminjam prinsip agama Islam yang secara tidak langsung diperhaluskan dalam bentuk polisi oleh tamadun Barat. Asalkan kita adil terhadap kawan dan lawan, boleh menghargai perkembangan sejarah terhadap satu-satu idea.
Tidaklah nanti, kita sentiasa paranoid terhadap apa sahaja yang bernama Barat!
Paranoid inilah yang merugikan umat Islam di Barat hari ini.
PARANOID TERHADAP SEMUA YANG BARAT
Bertugas sebagai Pengetua di Belfast Islamic School memberikan saya ‘tiket’ untuk menjadi ahli kepada The Islamic Schools League of America. Jika dinilai dari sudut pendidikan sahaja pun, umat Islam di Amerika Syarikat sudah jauh lebih maju meninggalkan pencapaian umat Islam di United Kingdom, Ireland dan Perancis. Malah dari segi politik, Keith Ellison sudah berjaya menempatkan dirinya sebagai anggota Muslim pertama di Dewan Kongress Amerika Syarikat.
Tetapi ramai umat Islam yang masih paranoid. Ada yang melabelkan Keith Ellison sebagai Zionis Muslim, semata-mata beliau menerima undi daripada sejumlah orang Yahudi di tempat beliau bertanding!
Umat Islam di United Kingdom masih melatah-latah apabila Shaykh Haitham Jawwad Al-Haddad menyarankan agar umat Islam yang menghuni United Kingdom mengundi parti yang diputuskan oleh Muslim Council of Britain. Mereka menafsirkan partisipasi umat Islam di dalam policy making di negara di mana mereka tinggal, sebagai penyertaan kepada sistem Kuffar. Maka hadith-hadith tentang imitasi satu kaum ke atas satu kaum, konsep tiada dua hati dalam satu badan, isu al-Wala’ dan al-Baraa’ diguna pakai. Lantas umat Islam Eropah memilih isolasi (pemencilan) berbanding integrasi yang lebih harmoni dengan maksud dakwah.
Hal yang sama turut membelenggu perkembangan semasa di Malaysia. Kita meremeh temehkan Eropah dan mengaggapnya sebagai bakul sampah falsafah Yunan dan Greek yang tidak perlu dibuka tudung, agar busuknya tidak melata. Apabila Ulama tidak mahu menghalusi asas-asas pemikiran Barat, mereka gagal berinteraksi dengan cabaran semasa secara betul. Apabila golongan yang digelar sebagai Islam Liberal bersuara mengkritik beberapa idea tentang Islam, Ulama kita menjawabnya dengan bahasa sempit yang memalukan Ulama sendiri.
TELETUBBIES
Terkenang saya kepada perbualan bersama beberapa orang rakan tentang rancangan kanak-kanak terkemuka di Britain iaitu Teletubbies. Salah satu watak yang ada di dalam rancangan tersebut, dianggap mewakili watak gay, iaitu Tinky Winky. Seorang ‘budak lelaki’ yang berwarna ungu dan bersimbol tiga segi di kepala (warna dan simbol yang sering dikaitkan dengan homoseksualiti) serta membawa beg tangan.
tinky_winky.jpg
Lantas rakan-rakan saya mengecam rancangan televisyen tersebut.
“Ini konspirasi Barat mahu merosakkan Islam” kata salah seorang dari kami.
“BBC sengaja mahu menyuntik budaya songsang ini kepada pemikiran kita” kata seorang yang lain.
Saya termenung.
Benarkah bagai yang didakwa? Apakah semua benda yang tidak bersesuaian dengan kita, datang dari sebuah konspirasi?
Pada fikiran saya, pemikiran Liberal kuat mendominasi masyarakat di England. Golongan gay, sama juga seperti golongan berkulit hitam, golongan OKU malah kumpulan minoriti Islam, sudah diiktiraf sebagai sebahagian daripada kumpulan yang membentuk masyarakat Britain berdasarkan kepada terjemahan Liberalisma semasa.
Maka rancangan ini, jika benar Tinky Winky itu dimaksudkan dengan watak gay, adalah rancangan yang bertujuan mendidik kanak-kanak pra sekolah Britain terhadap polisi negara mereka sendiri. Sebagaimana mereka perlu menghormati penganut mazhab Katholik, mereka juga mesti hormat kepada umat Islam, kaum wanita, golongan hispanic, malah golongan gay.
Ia bukan konspirasi. Unsur itu masuk secara telus dan sedar.
Jika kita rasakan NILAI itu tidak sesuai dengan pegangan kita, maka tinggalkan sahaja rancangan tersebut. Untuk melabel penerbit Teletubbies sebagai ahli konspirasi dan berniat jahat, ia hanya menunjukkan kejahilan kita dan sempitnya fikiran yang mengongkong.
Untuk itu, saya kepingin untuk berkongsi cadangan kepada rakan-rakan yang aktif beramal di dalam gerakan Islam, agar berusaha untuk belajar tentang Eropah. Belajar tentang Eropah dari sumber Eropah. Kita tidak perlu berada di Eropah untuk belajar tentang Eropah, sebagaimana masyarakat kita tidak perlu berada di Eropah untuk telah menjadi Eropah.
Mahu tidak mahu, acuan pemikiran dan nilai Eropah itulah yang sedang menguasai umat Islam, juga bukan Islam di negara kita.
Semakin kita menjahilkan diri terhadap musuh, semakin terserlahlah kebodohan kita ketika mendepani mereka.
Sumber: saifulislam.com

Selasa, 6 Mac 2012

Dakwah Fardiyah: Teori dan Praktikal


Di dalam pengoperasian dakwah fardiyah, ada beberapa hakikat dan kenyataan realiti yang perlu difahami oleh para du’at .Hakikat dan asas ini perlu diraikan ketika bergerak di gelanggang dakwah fardiyah.
Antara hakikat tersebut sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Abdul Halim al-Kinani ialah :

1.Kuantiti Du’at Terhad
Kuantiti para du’at yang menyeru ke jalan Allah terhad.Tenaga dan keupayaan mereka pun terhad.Di tambah pula, tidak ada para da’ie yang sanggup fulltime kepada kerja dakwah atas sebab mereka berusaha mencari sumber penghidupan dan rezeki bagi menampung keperluan hidup.Lantaran itu kerja dakwah menjadi kerja part-time.Di samping itu juga para da’ie tadi menumpukan usaha memenuhi keperluan ahli keluarga dan urusan peribadinya yang menuntut masa dan usaha yang bukan sedikit.
Sebaliknya realiti menyaksikan ramai manusia amat  berhajat kepada dakwah dan para pendakwah yang terlatih dan mahir menyampaikan bicara dan seruan dakwah semakin banyak dan bertambah. Setiap orang dari kalangan mereka memerlukan insan yang mampu memegang tangan mereka, menyelamatkan mereka dari sebarang kesesatan, penyelewengan, kealpaan dan kecuaian. Sekalipun sang da’ie mencurahkan daya usaha untuk tujuan tersebut, ia tidak mampu memenuhi keperluan semua mereka ini atau sebahagian daripadanya.

2.Kemampuan dan kapasiti berbeza untuk amal dakwah.
Tidak semua orang sesuai untuk amal dakwah dan mampu mencapai tahap yang paling tinggi  untuk beriltizam dengan islam kecuali dari seorang da’ie yang mujahid dan berdisiplin dari kalangan sof du’at. Walaupun begitu mereka berbeza dari sudut kapasiti, keupayaan dan suasana lingkungan dengan perbezaan yang besar.Ia bergantung pada kemampuan dan daya himmah (cita-cita). Ini kerana manusia umpama seekor unta , hampir kamu tidak dapati padanya seekor pun yang mampu menjadi rohilah (unta tunggangan yang mampu pikul beban) sebagaimana sabda nabi s.a.w di  dalam hadisnya.



3.       Dakwah perlu kepada Rijal yang Qawiyy
Hari ini dakwah memerlukan rijal (tokoh) yang memiliki segala sifat-sifat khusus seperti kepintaran yang tajam, keazaman yang jitu, iman yang mendalam,  kefahaman yang terperinci. Juga sifat mereka yang memiliki energy yang tinggi dari sudut fizikal, spiritual, mental, akhlak dan pemikiran.Selain itu juga sifat-sifat dan kelayakan yang perlu untuk memikul beban dakwah dan jihad.

 4.Membina Rijal perlu kepada tarbiyah dan mujahadah
Untuk mencapai ke tahap ini ia tidak terhasil dengan angan-angan, ucapan penuh semangat atau tangisan peringatan. Ia menuntut kepada tarbiyah jiwa dan bermujahadah melawan runtunan syahwat dan hawa nafsu, bersabar untuk mencari ilmu dan beramal dengannya. Ia satu proses yang memerlukan tarbiyah yang berterusan, intensif sehingga memerdekakan jiwa dari kekangannya, kebiasaannya sehingga terbang tinggi mengatasi segala dorongan dan pujukan syahwat, mengatasi segala sifat keji dan lemah.

5. Tarbiyah yang syumul dan tawazun.
Untuk memetik hasil tarbiyah tersebut, proses tarbiyah tadi mestilah merangkumi semua aspek jiwa dan individu insane yang terdiri dari fizikal, akal, ruh. Proses tarbiyah tadi mestilah mendalam, seimbang tanpa ada pengabaian mana-mana aspek sehingga lahir keperibadian manusia secara bersepadu, seimbang tanpa berlaku kecelaruan dan kekurangan.

6. Cabaran Arus Jahiliyyah
Kita hidup dalam iklim yang bergerak ke arah arah yang berlawanan.Hidup dalam lingkunganyang penuh fitnah dari segenap sudut. Media massa yang menebarkan racun-racunnya siang dan malam. Penguasaan kebatilan terhadap sistem pendidikan dan pelajaran, juga menguasai instrumen tatsqif dan taujih.Masyarakat pula dipimpin budaya dan adat jahiliyyah yang tumbuh membesar kepada kanak-kanak.Ia mengakar ke dalam pemikiran orang dewasa sehingga perkara makruf menjadi mungkar, yang mungkar pula menjadi makruf. Ia menggerakkan manusia menuju ke arah satu gerakan  yang berlawanan dengan islam dan prinsipnya. Ia sedikit demi sedikit melemahkan pengaruh para du’at kepada kebanyakan manusia.
Para ulama harakoh telah menetapkan beberapa asas haraki di dalam mempraktikkan dakwah fardiyah yang akan menjamin keberkesanan dan kejayaan dakwah fardiyah.

Asas Pertama : اختلاف درجات الاهتمام والتركيز [Perbezaan taraf atau tahap  keprihatinan dan at-tarkiz (penumpuan)]
Asas Kedua :  اتباع أسس الانتقاء [Ikut asas intiqo’ ( melakukan selektif)]
Asas Ketiga :  معرفة مفتاح الشخصية[Tahu kunci-kunci untuk mengenali manusia]
Asas Keempat :  مراعاة مبداء التدرج[Mengambil kira prinsip at-tadarruj (beransur-ansur)]

Asas Pertama :  
  • Da’ie yang menyeru ke jalan allah dikelilingi kelompok manusia yang berbeza-beza. Perbezaan ini berlaku dari sudut berpegang pada agama, perbezaan watak, perbezaan umur dan juga perbezaan taraf kedudukan akademik.
  • Langkah yang perlu dilakukan ialah memahami suasana lingkungan yang melingkarinya, menentukan anasir yang paling terbaik dan dekat pada islam dan dakwah. Juga yang hampir dekat dari sudut usia.
  • Da’ie perlu memberikan perhatian dan tarkiz (penumpuan) utama kepada individu yang beriltizam dengan islam. Dai’e hanya membetulkan kefahaman dan menjelaskan jalan amal yang betul untuk islam.Tenaga da’ie perlu dilabur dan ditumpu kepada individu ini dan diberi perhatian dan keutamaan sebagai objek dakwah fardiyah.
  • Ada juga dikalangan ma’du tadi rendah iltizam mereka terhadap islam, kurang berpengetahuan namun memiliki jiwa yang baik dan perasaan mulia. Da’ie perlu memberi perhatian kepada mereka dengan kadar yang agak rendah berbanding dari kumpulan utama tadi.
  • Mad’u pula berbagai-bagai. Ada yang cuai melaksanakan solat, ada yang umur sudah dewasa, ada yang hidup dalam keadaan tertentu yang menyukarkannya untuk melaksanakan dakwah dan terhambat dengan faktor kesibukan. Mereka ini juga perlu kepada perhatian, kasih sayang, dan hubungan umum. Mengajak dari kalangan mereka yang sesuai untuk menyambut seruan dakwah, berusaha membentuk iklim dan aktiviti dakwah umum kepada mereka.
  • Justeru proses membina mad’u tadi harus mengambil kira kepelbagaian rupa bentuk sasaran dakwah tadi dari pelbagai aspek perbezaan latar belakang ( kedekatan usia, ilmu, jurang kehidupan). Ia menuntut juga sang da’ie melihat aspek posisi mad’u ,tenaga  dan kemamapuannya untuk melakukan mutaba’ah (follow-up), evualuasi, dan penumpuan.
  • Seorang da’ie itu ibarat beliau berada di tengah pusat bulatan. Dikelilinginya beberapa lingkungan bulatan yang lain. Jadi, da’ie perlu memberikan perhatian kepada ma’du yang paling dekat dengannya dan diikuti yang seterusnya dengan mengambil kira tahap perbezaan komitmen, iltizam, sentimen, respon mereka terhadap dakwah. Semakin luas jarak bulatan itu bermakna semakin rendah tahap perhatian dan penumpuan da’ie tadi kepada sasaran dakwahnya. Namun mereka tetap kekal sebagai satu aset dakwah yang beredar dalam orbit dakwah. Ini kita namakan sebagai bulatan pemusatan. Di dalam ilmu hadis menyebut:
إذا أردت أن تبحث ففتش    وإذا أردت أن تروي فكمش
Jika kamu ingin mencari perawi thiqat, selidikilah manusia, jika kamu ingin meriwayat pula, maka genggamlah sungguh-sungguh.
Oleh itu, para da’ie perlu selidik dan membuat analisa manusia yang berada dalam bulatan lingkungannya dan kemudian tapislah mereka yang sesuai untuk menyahut dakwah.

Asas Kedua : Ikut syarat-syarat intiqo’ (pemilihan)
  • Proses intiqo’ ialah proses memilih individu yang berkualiti yang mampu menanggung beban dakwah bukan menjadi beban dakwah sebagaimana Rasulullah SAW bersabda :
[ إنما الناس كالإبل المائة لا تكاد تجد فيها راحلة ]
“Manusia ibarat seratus ekor unta, kamu tidak akan dapati padanya kecuali seekor sahaja yang menjadi rohilah (menanggung beban)”.
  • Proses memilih mesti berlaku secara terancang dan terperinci. Tidak boleh secara semberono atau ad-hoc. Ia juga tidak boleh dipengaruhi sentimen emosi peribadi atau faktor kecenderungan peribadi da’ie kepada mad’u. Ia mesti berasaskan kaedah dan asas yang tepat dan selari dengan objektif dakwah fardiyah.
  • Asas tersebut diukur pada tiga perkara iaitu :
  1. Galian Terbaik
  2. Minat dan kadar respon terhadap dakwah.
  3. Kedekatan
1. Galian Terbaik
  • Pilihlah manusia dari kalangan yang dikategorikan al-ma’dan as-solih (galian yang baik). Rasulullah bersabda :
الناس معادن كمعادن الذهب والفضة فخيارهم في الجاهلية خيارهم في الاسلام إذا فقهوا
“Manusia umpama galian seperti galian emas dan perak.Mereka yang terbaik masa jahiliyah adalah terbaik juga masa Islam bila dia faham.”
  • Galian yang baik adalah merujuk kepada memilih manusia yang memiliki kualiti pada akhlak, perilaku, watak dan sifat-sifat semulajadi pada fitrah.
  • Inilah pujian Rasulullah SAW kepada delegasi Asj Abdul Qais yang datang menemuinya.Kata baginda saw : “sesungguhnya pada kamu ada dua ciri menonjol iaitu sifat lembut dan kuat kesabaran”.
  • Antara akhlak dan sifat  individu yang ingin dipilih ke sof dakwah ialah :
    • Berani [ kekuatan jiwa, terus terang, berani dalam membuat keputusan, jauh dari sikap meniru atau menipu, mengakui kesilapan dan segera kembali kepada kebenaran, daya keseriusan tinggi, mimiliki nilai-nilai unggul]
    • Mulia [ dilihat melalui perlakuan dan mu’ayashah dengannya, tidak bakhil atau kedekut, sifat ego, tamak haloba, penting diri dan mengukur sesuatu atas nilai materialistik ]
    • Cerdik [ kapasiti mental yang baik, cepat faham dan kuasai ilmu, mampu menganalisis dan membuat rumusan.
    • Jauhi dari memilik mereka yang penakut, kikir, bakhil, tamak, penting diri, ikut hawa nafsu, lemah semangat.
    • Semakin jauh ma’du itu meninggalkan sifat-sifat negatif dan berakhlak dengan akhlak insani dan islami akan menjadikan proses intiqo’, membuat keutamaan dan kadar tumpuan kepadanya akan semakin bertambah.
2. Minat dan kadar respon terhadap dakwah
  • Du’at juga perlu mengambil kira respon dan minat mad’u terhadap seruan dakwah. Utamakan dulu kepada mereka yang respon positif dan sahut seruan dakwah walaupun ada kekurangan pada akhlak dan sifatnya perilakunya.
  • Jika kita dapati ada mad’u tertentu memiliki kualiti peribadi unggul namun kurang respon terhadap dakwah, kita perlu memberikan fokus khusus terhadapnya, bersabar, melipat ganda usaha terhadapnya tanpa mengabaikan mereka yang menyambut seruan dakwah.
  • Ini dilakukan sebagaimana  tindakan Rasulullah SAW kepada Umar al-Khattab. Begitu juga bagaimana Allah mencela tindakan Rasulullah SAW yang mengabaikan Abdullah ibn Ummi Makhtum dan tumpu kepada pembesar Quraish yang memiliki kedudukan dan pengaruh.
  • Inilah yang telah ditunjukkan oleh Imam Hasan al-Bana ketika ketika memilih Hasan al-Hudhaibi sebagai mursyid kedua melalui dakwah khusus, hubungan fardi walaupun ramai dari kalangan ikhwan pimpinan tidak mengenalinya.
3. Taqarub (Kedekatan)
  • Untuk memudahkan keberkesanan dan keberhasilan dakwah , da’ie perlu mengambil kira faktor kedekatan / kesamaan.
  • Pilihlah mereka yang dekat dari segi :
  1. Tempat tinggal seperti jiran, rakan dan teman sekerja, rakan sekuliah dan sebagainya.
  2. Usia kerana mendekatkan kefahaman, perasaan, cara fikir dan kejiwaan.
  3. Bakat dan potensi dan taraf sosiol kerana mereka lebih berpengaruh kepada masyarakat sekeliling.
  4. Pilih mereka yang sentiasa berulang alik ke masjid.
  • Seorang da’ie memberikan beberapa ciri orang sesuai dipilih untuk berada di sof dakwah iaitu :
    • Karismatik, matanya menyala-nyala pada wajahnya tekad dan keazaman
    • Memiliki himmah yang tinggi.
    • Pintar dan bijak
    • Ada sifat mulia
    • Aktif bergerak
    • Utamakan kerja dari bercakap.
    • Ruh yang kuat
    • Jiwa yang berani
    • Harga diri tinggi
    • Suka menolong
    • Diri yang suci.
  • Ada  beberapa kaedah dan asas dalam memilih manusia. Dr. Muhammad Nuh di dalam bukunya Fiqh Dakwah Fardiyah memenerikan beberapa asas iaitu :
    • Ada  beberapa kaedah dan asas dalam memilih manusia. Dr. Syed Muhammad Nuh di dalam bukunya Fiqh Dakwah Fardiyah memberikan beberapa asas iaitu :
    • دعوة المسلم مقدمة على دعوة غير المسلم
    • دعوة الأقربين نسبا وجيرة مقدمة على دعوة الأقارب.
    • دعوة الصغير مقدمة على دعوة الكبير.
    • دعوة المتواضع مقدمة على دعوة المتكبر.
    • دعوة المثقف مقدمة على دعوة الأمى.
    • دعوة غير المنتمى مقدمة على غير المنتمى.
    • دعوة زميل العمل أو المهنة مقدمة على غيره.
    • دعوة ذي التأثير والمنعة في قومه مقدمة على دعوة من لا أثر له ولا منعة.
      • Utamakan yang muslim dari bukan Islam.
      • Utamakan yang hampir dengan kita (keturunan @ jiran) dari yang jauh dari kita.
      • Utamakan orang muda dari dewasa.
      • Utamakan yang tawadhuk dari yang sombong.
      • Utamakan yang berilmu dari yang buta huruf.
      • Utamakan yang kosong intima’ dari yang terikat dengan organisasi tertentu.
      • Utamakan rakan kerja dari yang lain.
      • Utamakan kepada yang berpengaruh dan ada autoriti  dari yang tidak berpengaruh dan tidak ada autoriti.
  • Rumusannya seorang da’ie perlu ada fiqh mu’adalah (membuat timbang tara), fiqh ikhtiyar wal intiqo’ (membuat selektif) dan memahami latar sasaran dakwah yang berbeza.
  • Da’ie yang bijak ialah da’ie yang bijak  berdakwah dengan memilih topik dakwah menurut kepentingan dan keutamaan. Lapangan dakwah yang paling memberikan sumbangan dan kontribusi pada dakwah ialah yang paling cepat dan pantas memberikan kesan, menjadikan usahanya yang sedikit menjadi efektif, sesuai dengan tabiat marhalah dakwah tersebut.